Ra'ayu : Darai sudah lepas!

[PERHATIAN : Berikut ialah pendapat penulis melalui pemerhatian dan pembacaan. Sebarang pencanggahan boleh terjadi memandangkan manusia itu fitrahnya berbeza pendapat. Untuk meraikan rahmat Tuhan ini, boleh komen dibawah untuk menyatakan pemahaman anda dan kongsikan kepada kami agar boleh menjernihkan pemahaman semua kita]

Baru-baru ini, kita telah dikejutkan dengan berita Mahkamah Rayuan telah mengisytiharkan Enakmen 66 dalam Undang-undang Syariah bercanggah dengan Perlembagaan, sekaligus meggugurkan status sah enakmen tersebut yang menghukum mana-mana lelaki Muslim yang berpakaian seperti wanita di khalayak ramai. 

Satu persoalan timbul, adakah ini satu progres yang baik untuk Malaysia bagi mencapai status maju yang dicanang oleh dunia - dimana, setiap hak kemanusiaan diletakkan pada diri individu selagi mana seseorang individu tidak meyerang atau menyinggung hak hidup individu lain? Atau adakah ini satu bentuk regresi moral yang rata-rata kita takuti? Dari sudut pandang penulis, ia bergantung kepada sejauh mana dari mana kita pandang isu tersebut.

Hak Kemanusiaan untuk Semua vs Regresi Moral

Hak kemanusian, menurut PBB, ialah hak setiap manusia untuk sama-sama hidup, tanpa mengira nasionaliti, tempat tinggal, etnik, orientasi seksual, warna kulit, agama, bahasa, dan stauts lain. Kita semua secara sakasama, mempunyai hak tersebut tanpa sebarang diskriminasi. Jika dipandang dari sudut translasi buta sebegini, ideologi ini merupakan satu ideologi yang sangat ideal dan berwawasan utopia. kadangkala, ada juga yang sampai terkeliru, "bukankah ini juga suruhan agama? Bukankah islam itu agama yang tidak memaksa?"


Benar, agama Islam tidak mengajar kita untuk memaksa orang lain mengikut cara kita, malah kita diajar untuk bertoleransi dan menunjukkan sikap yang baik kepada "mereka" yang tidak selari pandangannya dengan kita. Jadi, apa salahnya berkiblatkan hak asasi manusia? Hak asasi manusia adalah satu hak yang mengisytihar manusia sebagai tuhan untuk dirinya sendiri. Dia berhak untuk menentukan apa yang dia mahu tanpa perlu mengambil konsiderasi modesti masyarakat sekelinling yang sudah pasti bercanggah dengan pemahaman Islam yang bersifat holistik. Tambahan, hal tersebut boleh membawa kepada regresi moral dalam setiap kita memandangkan tiada siapa berhak menyatakan "itu benar dan itu salah"

FEMEN : Organisasi yang kononnya bejuang
menegakkan hak wanita dengan bertelanjang
Tapi bukankah hak tersebut punya limitasi - hanya terbatas pada diri tuannya tanpa menyinggung hak asasi manusia lain? Bagaimana pula regresi moral boleh terjadi? Benar, tapi moraliti bukan hanya pada interaksi luaran, ianya juga meliputi stabiliti dalaman. Jika kita rujuk statistik, Jepun, sebuah negara yang  maju,- mempunyai layanan hak kesamarataan yang menjadi ideal kepada penduduk dunia- seringkali dilabel sebagai negara yang mempunyai kadar kes bunuh diri tertinggi. Ini semua rentetan implikasi kurang baik individualiti yang semakin menebal apabila hak asasi tersebut dijadikan tuhan.

Serangan Pemikiran & Cara Masyarakat Kita Menangani Isu

Hal ini seharusnya sinonim dengan realiti masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk, tetapi aneh, isu ini bagaikan menjadi isu pedas hanya setelah beberapa tahun Malaysia menjejak keusia matang. Liberalisme, sekularisme, pluralisme dan pelbagai lagi ideologi "manusiawi" semakin kuat mempengaruhi rakyat kita terutama lewat usaha pra-kemajuan sosiopolitik. Ideologi-ideologi ini juga semakin kuat mempengaruhi tonggak-tonggak muda kita, yang sudah pasti sangat menginginkan satu kestabilan hakiki olahan manusia. Isu utama, bagaimanakah cara masyarakat kita tangani isu ini?

Jika dipandang dari sudut undang-undang dan corak sosiobudaya, negara Malaysia boleh dikategorikan sebagai sebuah negara yang agak konservatif dalam isu teologi. Kita memandang agama sebagai satu entiti suci  yang jika isu ini dibangkitkan, pasti akan disenyapkan pihak bertanggungjawab.. Namun, sikap budaya ini menjurus kepada satu ketertutupan dalam berfikir, seklaigus menimbulkan paranoia dalam setiap kita. Oleh kerana itu, apabila ada isu seperti acara I Want To Touch A Dog, masyarakat lebih bertindak mengecam daripada mengambil pusing isu-isu yang cuba dibawa penganjur dan juga hakikat sebenar mengapa acara itu kurang wajar diadakan.

Komen-komen cercaan berkenaan
isu "I Want To Touch A Dog"
Ditambah dengan organisasi-organisasi yang menggunakan nama agama atau bangsa untuk menyebarkan sisi ekstremism dan melabel golongan lain sebagai sesat atau menyimpang. Hal ini sudah pasti akan menyebabkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat tentang pandangan dari sudut agama dalam memeperdalami sesebuah isu. Lebih buruk lagi Islam akan dipandang sebagai faktor penyekat kepada "kemajuan" fahaman masyarakat kini yang terdiri dari pelbagai latar belakang.

Jika dipandang dari sudut sejarah, isu serangan pemikiran ini sudah berlaku lama. Sebagai contoh, di zaman Abbasiyah, di zaman Islam berkembang di Parsi dan menerima pengikut dari pelbagai bangsa yang membudayakan falsafah Yunani dan Parsi. Para tabien pada zaman itu berjaya menangani isu kekeliruan dengan memperkenalkan ilmu kalam bagi menerangkan isu tauhid kepada penganut-penganut baru. Mungkin, jika diaplikasikan pada masa kini, adalah lebih baik jika diadakan dialog-dialog yang boleh membuka minda masyarakat sekaligus membina satu budaya ilmu dan berfikir yang mampu mencetus fenomena diperingkat antarabangsa.

Pasti ada ragu dalam kalangan kita, adakah mampu untuk kita hadapi serangan ideologi masa kini jika keterbukaan ini diaplikasi dalam cara hidup kita. Pasti ramai kita juga akan gayat dengan proposal sesetengah pihak agar budaya berdialog diketengahkan kembali, ditambah fakta yang tidak semua kita cukup faham mengenai agama. Hal ini rentetan sistem pendidikan agama tidak formal di peringkat kanak-kanak yang tidak efektif dalam kalangan masyarakat kita. Masyarakat kita lebih kepada berlumba mengikut budaya daripada berusaha untuk memahamkan si anak tentang isu tauhid - lebih sibuk mengikut trend bertudung, bersolat, berpuasa tanpa menguatkan ilmu ketuhanan dan atas sebab apa wajib buat mereka untuk mengabdikan diri pada tuhan. Jika kita lihat hari ini, anak-anak yang terdedah dengan kefahaman tauhid di peringkat muda lebih terbuka untuk berdialog, lebih pasif dalam mejatuhkan pandangan judgmental kepada orang lain yang dilhat "menyimpang".

Skrinshot berita online mengenai
hak transgender Malaysia
Kembali pada isu darai atau maknyah, adakah harus kita mengeluh dengan keputusan mahkamah yang seakan mengiktiraf golongan ini? Atau adakah lebih perlu untuk kita menyusun stratergi menyebarkan kefahaman tentang isu ini kepada masyarakat? Dan jika kita memilih untuk menyebar kefahaman, apakah cara yang terbaik untuk membuatkan masyarakat faham? Adakah dengan mencerca golongan maknyah dan memfatwakan betapa hinanya golongan sebegini, atau adakah dengan merapati mereka dan jinjing tangan mereka kembali ke jalan yang kita dakwa benar?
Mari bersama hidupkan budaya berfikir.

No comments :

Post a Comment