Secara asasnya, sekularisme merupakan fahaman yang berkait dengan hal duniawi atau dari sudut sosiologinya bermaksud perkembangan masyarakat, iaitu membebaskan pandangan manusia tentang dunia daripada pengaruh keagamaan, sehingga agama atau apa-apa sahaja yang bersifat suci tidak lagi menguasai masyarakat dan pandangan manusia.
Turki merupakan negara Islam pertama yang menerapkan prinsip sekularisasi politik dengan memisahkan Islam daripada negara dan juga membubarkan kekhalifahan Islam. Sebilangan besar penduduk negara itu beragama Islam. Usaha untuk membawa bangsa Turki ke peringkat yang sama dengan bangsa Barat ini dilakukan oleh presiden pertama Turki iaitu Mustafa Kamal Ataturk semasa negara itu diisytiharkan sebagai sebuah negara republik pada 29 Oktober 1923.
Jajahan minda ini bukanlah suatu perkara yang baru di Malaysia. Fahaman ini telah lama merosakkan akidah umat Islam dari sudut pemikiran, sosial, politik, ekonomi dan pendidikan.
SUDUT PEMIKIRAN
Hal agama dipandang semata-mata soal ritual sahaja contohnya imej dan syiar Islam di majlis-majlis agama begitu dijaga, namun di luar daripada aktiviti sebegitu, Islam tidak lagi diikuti malah aurat kembali dibuka sebaik sahaja ceramah ataupun aktiviti keagamaan tamat.
SUDUT SOSIAL
Sebagai contoh, pakaian dan pergaulan dalam majlis ceramah agama cukup Islamik, tetapi dalam konsert hiburan atau pesta kebudayaan langsung tidak menepati ciri-ciri keagamaan. Islam tidak wujud dalam aktiviti tersebut atau wujud dalam skop yang lebih kecil seperti pembacaan doa sahaja.
SUDUT POLITIK
Melalui pemisahan hal politik dengan tugas ulama atau mengasingkan politik daripada masjid membuktikan bahawa pemikiran umat Islam terhadap sekularisme terlalu kuat. Pengasingan ulama di masjid dan ahli politik di parlimen jelas menunjukkan ideologi sekularisme ini menolak fahaman islam yang dulunya telah ditetapkan untuk merangkumi keseluruhan aspek kehidupan.
SUDUT EKONOMI
Wujud sistem ekonomi yang bermatlamatkan kekayaan dan material tanpa memikirkan halal, haram, keadilan sosial, perkhidmatan serta kebajikan masyarakat. Terdapat juga sistem perbankan yang berteraskan riba dan aspek pelaburan dan perniagaan, arak dan judi masih terus dibiarkan dan diluluskan permitnya.
SUDUT PENDIDIKAN
Aliran sekolah kini sudah ditetapkan oleh kerajaan sama ada aliran agama ataupun bukan aliran agama. Pengajian subjek-subjek umum di sekolah telah digubal menggunakan idea-idea Barat yang tidak disepadukan dengan pemikiran Islam. Hanya pendidikan Islam sahaja yang digubal oleh panel yang merujuk kepada pandangan Islam dan rujukan-rujukan yang muktabar.
pl/s: dalam menilai ideologi sekularisme, kadangkala kita tidak adil dalam menilai dan mengkritik. Kadangkala fahaman kita mengenai sekularisme itu sendiri tidak tepat. Bukanlah di sini ingin mengatakan bahawa sekularisme merupakan ideologi yang betul, tetapi biarlah kita bersikap adil dalam menilai.
Sekularisme bermaksud mengasingkan agama dan urusan lain. Kata kunci di sini ialah MENGASINGKAN. Sekularisme sebenar tidak menyerang agama, tetapi hanyalah mengasingkan sahaja. Pandangan fahaman sekularisme kita banyak dipengaruhi dengan tindakan Mustafa Kamal Atarturk di Turki, tetapi tahukah bahawa tindakan Mustafa Kamal Atarturk yang menyerang institusi agama dan agamawan bukanlah tindakan golongan sekular sebenar.
Sekularisme juga telah menyelamatkan ketamadunan di Barat pada apabila di mana golongan gereja di sana bertindak kejam membunuh para ilmuan dan saintis. Dan ironinya, sekularisme di Barat sebenarnya membantu penyebaran Islam di Barat berlaku tanpa tentangan.
(sesuatu untuk kita fikirkan. Ini hanyalah pandangan peribadi pengarang)
Sumber dan bahan bacaan tambahan :
http://www.yadim.com.my/index.php/ensiklopedia/83-sekularisme
http://stopviolent.blogspot.com/2008/10/kesan-sekularisme-ke-atas-dunia-islam.html
http://pusatsumberislam.blogspot.com/2011/04/kesan-pengaruh-sekularisme-terhadap.html
No comments :
Post a Comment